Laraskan seting video dan audio pada Apple TV
Pada Apple TV, anda boleh menyesuaikan pengalaman menonton dan mendengar anda. Sebagai contoh, anda boleh:
Pastikan resolusi output Apple TV sepadan dengan resolusi asli televisyen anda
Kawal sama ada Apple TV menukar seting kadar bingkai dan julat dinamik untuk sepadan dengan kandungan video
Kawal sama ada Apple TV mengoutput audio dikodkan Dolby Digital
Tentukan bahasa untuk digunakan untuk sari kata dan trek audio dalam kandungan bahasa asing
Kalibrasi video atau audio anda atau semak sambungan HDMI anda ke Apple TV
Laraskan seting video
Anda boleh melaraskan seting video, seperti format, padanan kadar bingkai atau menguji sambungan HDMI anda untuk sebarang masalah.
Buka Seting pada Apple TV.
Pergi ke Video dan Audio.
Lakukan mana-mana daripada berikut:
Setkan format output video: Pilih Format, kemudian pilih seting resolusi, kadar bingkai dan julat dinamik untuk main balik video.
Setkan format output HDMI: Pilih Output HDMI, kemudian pilih YCbCr, RGB Tinggi atau RGB Rendah. YCbCr diutamakan untuk kebanyakan TV. Format RGB sepatutnya sepadan dengan seting TV anda dan memerlukan kabel HDMI berkelajuan tinggi.
Setkan format kroma (kandungan warna imej video): Pilih Kroma, kemudian pilih 4:2:0 untuk gambar berkualiti tinggi yang serasi dengan kebanyakan TV dan kabel HDMI, atau 4:4:4 untuk kejelasan yang dipertingkatkan (memerlukan kabel HDMI kelajuan tinggi).
Aktifkan padanan julat dinamik: Untuk menonton kandungan dalam julat dinamik asal, pilih Padankan Kandungan, kemudian aktifkan Padankan Julat Dinamik.
Aktifkan padanan kadar bingkai: Apple TV memainkan video dalam format terbaik tersedia yang disokong oleh TV anda secara automatik, yang termasuk resolusi, julat dinamik dan kadar bingkai. Sebaliknya, untuk menonton kandungan dalam kadar bingkai asal, pilih Padankan Kandungan, kemudian aktifkan Padankan Kadar Bingkai.
Aktifkan Penukaran Media Cepat: Untuk mengurangkan kelewatan semasa bertukar antara kadar bingkai, pilih Padankan Kandungan, kemudian aktifkan Penukaran Media Cepat (QMS). Pilihan ini hanya kelihatan jika TV anda menyokongnya. QMS berfungsi terbaik apabila bertukar antara format yang menggunakan kroma yang sama. Untuk memastikan TV anda menggunakan kroma yang sama bagi semua kadar bingkai, pilih Optimumkan QMS, kemudian pilih OK.
Semak sambungan HDMI anda: Apple TV boleh menjalankan ujian untuk melihat jika terdapat sebarang masalah dengan sambungan HDMI anda. Pilih Semak Sambungan HDMI, kemudian ikuti arahan atas skrin.
Aktifkan Ketik untuk Mengezum Video: Aktifkan seting ini untuk zum video bagi mengisi skrin apabila anda mengetik dua kali pada pad klik Siri Remote generasi ke-2 atau lebih baharu) atau permukaan sentuh (Siri Remote generasi pertama).
Kalibrasi semula paparan anda: Jika anda menghadapi masalah paparan, anda boleh memilih Reset Seting Video untuk mengkalibrasi semula paparan TV anda.
Aktifkan Tingkatkan Dialog untuk HomePod atau HomePod mini dengan Apple TV 4K
Apabila anda menyambungkan satu atau dua speaker HomePod atau HomePod mini ke Apple TV 4K untuk bunyi teater rumah, anda boleh mengaktifkan Tingkatkan Dialog untuk menjadikan pertuturan lebih menonjol dalam campuran audio supaya dialog tersebut lebih mudah untuk didengar dan difahami.
Nota: Seting Tingkatkan Dialog hanya kelihatan jika anda mempunyai tvOS 17.1 atau lebih baharu pada satu atau dua speaker HomePod atau HomePod mini yang dipasangkan ke Apple TV 4K dengan tvOS 17.1 atau lebih baharu. Pastikan speaker HomePod dipilih sebagai Output Audio Lalai.
Lakukan salah satu daripada yang berikut:
Tingkatkan dialog dalam video yang sedang dimainkan: Tunjukkan kawalan main balik, kemudian pilih butang Pilihan Audio kemudian pilih Tingkatkan Dialog daripada menu timbul.
Tingkatkan dialog untuk semua video: Buka Seting pada Apple TV, pergi ke Video dan Audio dan aktifkan Tingkatkan Dialog.
Tonton Apple TV tanpa mengganggu orang lain
Apple TV boleh mengurangkan paras bunyi secara keseluruhan dengan mengurangkan julat dinamik supaya muzik lantang dan kesan bunyi tidak sekuat bunyi lain.
Lakukan salah satu daripada yang berikut:
Kurangkan kelantangan dalam video yang sedang dimainkan (Siri Remote generasi ke-2 atau lebih baharu): Tunjukkan kawalan main balik, kemudian pilih butang Pilihan Audio kemudian pilih Kurangkan Bunyi Kuat daripada menu timbul.
Kurangkan kelantangan dalam video yang sedang dimainkan (Siri Remote generasi pertama): Tunjukkan kawalan main balik, kemudian pilih butang Pilihan Audio kemudian pilih Kurangkan Bunyi Kuat daripada menu timbul.
Kurangkan kelantangan untuk semua video: Buka Seting pada Apple TV, pergi ke Video dan Audio dan aktifkan Kurangkan Bunyi Kuat.
Setkan bahasa audio dan sari kata
Buka Seting pada Apple TV.
Pergi ke Video dan Audio serta pilih bahasa yang anda mahukan di bawah Bahasa Audio atau Bahasa Sari Kata.
Nota: Jika bahasa yang anda pilih tidak tersedia, bahasa lalai digunakan—ia merupakan bahasa yang berkaitan dengan rantau anda atau bahasa yang dipilih dalam Seting Umum.
Laraskan seting audio lain
Anda boleh melaraskan seting audio lain, seperti kesan bunyi dan muzik, format audio dan banyak lagi.
Buka Seting pada Apple TV.
Pergi ke Video dan Audio.
Tukar mana-mana yang berikut:
Output audio (Apple TV 4K): Jika anda menyambungkan satu atau dua speaker HomePod ke Apple TV untuk bunyi keliling teater rumah, semua audio, termasuk klik navigasi, dihalakan ke speaker HomePod. Anda boleh menukar seting ini ke pilihan speaker tersedia lain. Lihat Gunakan Apple TV untuk memainkan audio di seluruh rumah anda.
Output audio (Apple TV HD): Anda boleh memilih untuk memainkan audio menerusi speaker TV atau AirPods, fon kepala Bluetooth atau speaker AirPlay lain anda. Lihat Gunakan Apple TV untuk memainkan audio di seluruh rumah anda.
Format audio: Secara lalai, Apple TV menggunakan format audio terbaik yang tersedia, termasuk Dolby Atmos jika peralatan audio anda menyokongnya. Untuk menyahaktifkan Dolby Atmos, pilih Format Audio, kemudian nyahaktifkan Dolby Atmos. Jika anda mengalami masalah main balik dengan peralatan yang hanya menyokong format audio khusus, pilih Tukar Format dan pilih sama ada Dolby Digital 5.1 atau Stereo.
Klik Navigasi: Pilih Klik Navigasi untuk mengaktifkan atau menyahaktifkannya.
Kesan bunyi dan muzik: Pilih Kesan Bunyi dan Muzik untuk mengaktifkan atau menyahaktifkannya.
Mod Audio: Apple TV boleh bertukar ke mod audio untuk output audio terbaik secara automatik. Jika TV anda memerlukan audio 16-bit, pilih Mod Audio untuk bertukar daripada Auto kepada 16-bit.
Kalibrasi video atau audio
Anda boleh menala halus kalibrasi video atau audio pada TV, teater rumah atau speaker wayarles anda, menggunakan sebarang alat kalibrasi yang disediakan dalam Seting.
Buka Seting pada Apple TV.
Pergi ke Video dan Audio.
Navigasi ke Kalibrasi, kemudian lakukan mana-mana yang berikut:
Keseimbangan Warna: Pilih untuk mengukur dan melaraskan warna gambar anda menggunakan iPhone dengan Face ID dan iOS 14.5 atau lebih baharu.
Penyelarasan Audio Wayarles: Pilih untuk menjalankan ujian dengan iPhone anda untuk melaraskan bunyi speaker wayarles anda ke speaker berwayar anda. Lihat Kalibrasikan audio antara speaker berwayar dan wayarles anda.
Zum dan Imbasan Lebihan: Pilih untuk melihat imej rujukan yang anda boleh laraskan menggunakan seting gambar TV anda.
Bar Warna: Pilih untuk melihat imej bar warna rujukan yang anda boleh laraskan menggunakan seting gambar TV anda.