Pergi ke kandungan

Injap atas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Komponen sistem injap atas yang digerakkan oleh rod penolak.
Gambar bongkah enjin V8 (dengan rongga masukan ditanggalkan, menunjukkan aci sesondol, rod penolak dan lengan jumpelang.

Enjin injap atas (OHV), juga dipanggil enjin rod penolak, merupakan sejenis enjin omboh yang menempatkan aci sesondol di dalam bongkah enjin (biasanya di tepi atau di atas aci engkol), serta menggunakan rod penolak bagi menggerakkan lengan jumpelang di atas kepala silinder yang seterusnya menggerakkan injap. Tapet ditempatkan di dalam bongkah enjin antara aci sesondol dengan rod penolak.[1] Rekaan aci sesondol atas (OHC) (juga merupakan sejenis enjin injap atas) mengelakkan penggunaan rod penolak dengan menempatkan aci sesondol di dalam kepala silinder.

Pada tahun 1949, Oldsmobile memperkenalkan enjin Rocket V8. Ia merupakan enjin injap atas bernisbah mampatan tinggi pertama, serta menjadi perintis kepada rekaan enjin rod penolak moden. General Motors merupakan pengeluar enjin rod penolak terbesar di dunia[perlu rujukan], dengan mengeluarkan kedua-dua enjin rod penolak V6 dan V8.

Hanya sedikit sahaja enjin rod penolak dikeluarkan di luar pasaran Amerika Syarikat, malah Ford yang berpangkalan di Amerika Syarikat sendiri sudah tidak lagi mengeluarkan enjin rod penolak bagi model kenderaan terbarunya. Ia sebahagian daripada kesan penggubalan sistem percukaian kenderaan berasaskan sesaran enjin di beberapa negara, kerana sesaran enjin amat berkaitan dengan pelepasan asap serta kecekapan bahan api kenderaan. Ia telah memberikan enjin OHC kelebihan dari segi perundangan di negara-negara tersebut, menyebabkan hanya sedikit sahaja pengeluar kenderaan yang mahu mengeluarkan kedua-dua enjin OHV dan OHC.

Dalam bidang kejuruteraan automotif, enjin pembakaran dalaman jenis injap atas merupakan enjin di mana injap masukan dan ekzos ditempatkan di dalam kepala silinder.

Enjin omboh injap atas atau OHV asal dibangunkan oleh seorang jurutera berbangsa Scotland-Amerika, David Dunbar Buick. Ia menggunakan injap kendalian rod penolak yang selari dengan omboh, yang masih dinggunakan sehingga sekarang. Ia bertentangan dengan rekaan lama yang menggunakan injap tepi.

Arthur Chevrolet dianugerahkan US Patent #1,744,526 bagi rekaan Enjin Injap Atas. Paten ini turut merangkumi sejenis penyuai yang boleh dipasang pada enjin lama bagi menukarkannya menjadi enjin injap atas.

Pada masa sekarang, sudah tidak ada lagi kereta yang menggunakan sistem injap tepi, memandangkan kesemua injap terletak di "atas". Walau bagaimanapun, kebanyakannya kini digerakkan secara lebih terus melalui sistem aci sesondol atas, yang dilabelkan sebagai OHC - sama ada aci sesondol atas tunggal (SOHC) ataupun aci sesondol atas berkembar (DOHC).

Kelebihan dan kelemahan

[sunting | sunting sumber]

Kelebihan

[sunting | sunting sumber]
  • Pakej enjin yang lebih padat - disebabkan lokasi aci sesondol di dalam bongkah enjin, enjin OHV lebih padat daripada enjin OHC dengan sesaran yang sama. Misalnya, enjin Ford 4.6 L OHC modular V8 lebih besar daripada enjin 5.0 L OHV Windsor V8 yang digantikannya.
  • Sistem pacuan yang kurang rumit - enjin OHV mempunyai sistem pacuan yang kurang rumit bagi pemasaan injapnya kerana aci sesondol boleh dipacu secara terus menggunakan gear. Enjin OHC pula lebih rumit kerana aci sesondolnya ditempatkan di dalam kepala silinder, serta digerakkan oleh tali sawat atau rantai yang kedua-duanya memerlukan penegang yang menambahkan kerumitan sistem pacuannya.

Kelemahan

[sunting | sunting sumber]
  • Kelajuan enjin atau RPM yang lebih rendah - enjin OHV mempunyai lebih banyak bahagian bergerak, sekaligus menambah inertia sistem rangkaian injap. Akibatnya, enjin tersebut mudah mengalami masalah injap "terapung". Selain itu, rod penolak, jika tidak direka dengan teliti, mempunyai kecenderungan untuk meliuk atau patah pada kelajuan enjin tinggi. Hasilnya, enjin OHV tidak boleh berputar selaju enjin OHC.[2]
  • Fleksibiliti rekaan kepala silinder yang terhad - enjin aci sesondol atas (OHC) lebih mudah direka sebagai enjin berbilang injap. Kebanyakan enjin OHV hanya mempunyai dua injap sesilinder, manakala kebanyakan enjin OHC boleh ada tiga, empat, malah lima injap sesilinder untuk menghasilkan lebih kuasa. Jika ada pun enjin OHV berbilang injap, sistem pacuan injapnya adalah lebih rumit manakala penggunaannya hanya terhad kepada enjin diesel berkelajuan rendah dan sederhana. Di dalam enjin OHV, saiz dan bentuk liang masukan serta kedudukan injap dihadkan oleh rod penolak.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]