Pergi ke kandungan

Anjing gunung Appenzell

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anjing gunung Appenzell
Nama lain
  • Anjing lembu Appenzell
  • Appizöller Bläss[1]
Negara asalSwitzerland
Trait
Berat 22–32 kg (49–71 lb)
Jantan 28 kg (62 lb)[1]
Betina 22 kg (49 lb)[1]
Tinggi Jantan 52–56 cm (20–22 in)
Betina 50–54 cm (20–21 in)
Bulu lapis bulu ganda
Warna triwarna: hitam atau black or warna perang Havana, dengan tanda-tanda putih dan perang kemerah-merahan
Jangka hayat 12–14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gunung Appenzell atau anjing lembu Appenzell[a] ialah satu baka anjing pekerja bersaiz sederhana Switzerland. Ia berasal dari rantau Appenzell di Switzerland timur laut dan merupakan salah satu daripada empat baka rantauan sennenhund atau anjing gunung Switzerland, kesemuanya bercirikan lapis bulu triwarna distingtif.

Anjing gunung Appenzell ialah anjing pekerja tradisional bagi Sennen – penggembala lembu dan penternak tenusu Alp[2] – dari kawasan Appenzell di Switzerland timur laut. Penerangan bertulis terawal mengenainya adalah daripada Friedrich von Tschudi dalam Das Thierleben der Alpenwelt, yang diterbitkan pada tahun 1853.[3][4]:553 Pada lewat abad kesembilan belas, Max Sieber, seorang rimbawan yang pernah melihat anjing ini dalam pertunjukan lembu di Switzerland timur, meminta agar Schweizerische Kynologische Gesellschaft [de] mengiktiraf baka ini;[5] sebuah suruhanjaya ditubuhkan dengan pembiayaan daripada kanton St. Gallen[5] dan anjing gunung Appenzell diiktiraf sama ada pada tahun 1896[6] atau tahun 1898.[3][7]:88 Lapan ekor anjing baka ini ditunjukkan pada pertunjukan anjing antarabangsa di Winterthur pada tahun 1898; mereka dimasukkan ke dalam kelas sennenhund baharu.[5]

Pada tahun 1906, sebuah persatuan baka, Appenzeller Sennenhunde Club, diasaskan atas desakan ahli kinologi Albert Heim, yang pada tahun 1914 merangka piawaian baka penuh pertama.[5] Ia diterima secara muktamad oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa pada tahun 1954.[8]

Ia telah tersebar dari Appenzell ke bahagian lain di Switzerland dan ke negara-negara lain di Eropah.[3] Sebuah kajian yang diterbitkan pada tahun 2004 mendapati bahawa ia merupakan baka paling berdaftar di kanton Appenzell, dengan 259 daripada sejumlah 1358 pendaftaran di kanton itu, atau kira-kira 19%; di seluruh Switzerland, ia menyumbangkan 360 daripada sejumlah 33470, atau kira-kira 1.1% daripada semua anjing yang didaftarkan oleh Schweizerische Kynologische Gesellschaft.[9]:226

Ia merupakan satu-satunya baka anjing Switzerland yang dianggap berisiko oleh ProSpecieRara, yang menyenaraikannya sebagai gefährdet, "terancam". Angkanya stabil tetapi takungan gennya sempit; persatuan itu bekerjasama dengan persatuan baka, Schweizerischer Club für Appenzeller Sennenhunde, untuk memperluasnya.[1][10]

Dua pewarnaan lapis bulu, hitam dan warna perang havana

Anjing gunung Appenzell ialah sennenhund atau anjing gunung Switzerland ketiga terbesar dalam kumpulannya, yang juga menyertakan anjing gunung besar Switzerland, anjing gunung Bern, dan anjing gunung Entlebuch. Ia merupakan anjing bersaiz sederhana: jantannya berdiri kira-kira setinggi 52–56 cm (20–22 in) pada paras kelasa, betinanya kira-kira kurang 2 cm (0.79 in);[11][12] beratnya berada dalam julat 22–32 kg (49–71 lb).[13]:66

Lapis bulunya ganda dan lapis bulu atasnya tebal, lurus, dan berkilat. Ia sentiasa triwarna: warna utamanya mungkin sama ada hitam atau warna perang Havana, dengan tanda-tanda putih di dada, di muka dan di kaki, dan kawasan-kawasan perang kemerah-merahan antara warna-warna itu dengan warna asas.[11][12]

Ekornya terletak tinggi-tinggi dan terangkat dalam lingkaran ketat di atas belakang apabila anjing berkenaan bergerak.[11][12] Telinganya terletak tinggi-tinggi dan berbentuk segi tiga dan agak kecil; teliganya tergantung dekat dengan pipi apabila anjing berkenaan berehat dan ternaik dan berpaling ke arah hadapan apabila ia berjaga-jaga.[11][12] Antara kecacatan yang menyingkirkan anjing daripada pendaftaran ialah mata dinding, ekor bengkok, lapis bulu tunggal, dan lapis bulu yang tidak triwarna.[7]:88 Anjing dapat dijangka hidup selama kira-kira 12–14 tahun.[14]:290

Menurut piawaian baka, anjing gunung Appenzell adalah cergas, bersemangat tinggi, atletik, dan curiga terhadap orang asing.[8][11][12]

Anjing gunung Appenzell secara tradisional digunakan oleh penggembala lembu dan penternak tenusu Alp di rantau Appenzell untuk menggembala lembu dan untuk menjaga harta benda.[3] Ia kerap dipelihara sebagai anjing teman.[3]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢونوڠ اڤنسيل; Jerman: Appenzeller Sennenhund; Perancis: bouvier de l'Appenzell; bouvier d'Appenzell; bouvier appenzellois; Itali: bovaro dell'Appenzell; bahasa Inggeris: Appenzell mountain dog; Appenzell cattle dog
  1. ^ a b c d Appenzeller Sennenhund (dalam bahasa Jerman). Basel, Switzerland: ProSpecieRara. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  2. ^ Senne. Beolingus (dalam bahasa Inggeris). Chemnitz, Jerman: Technische Universität Chemnitz. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  3. ^ a b c d e Jean-Maurice Paschoud (1994). The Swiss canine breeds: FCI-standards (dalam bahasa Inggeris). [Bern, Switzerland]: Schweizerische Kynologische Gesellschaft. Dikutip dalam: Appenzell Cattle Dog. Bern, Switzerland: Naturhistorische Museum der Burgergemeinde Bern. Diarkibkan pada 5 Februari 2007.
  4. ^ Friedrich von Tschudi (1853). Das Thierleben der Alpenwelt: Naturansichten und Thierzeichnungen aus dem schweizerischen Gebirge (dalam bahasa Jerman). Leipzig, Jerman: J.J. Weber.
  5. ^ a b c d Livio Janett (1 Mei 2020). Vielseitige Vierbeiner: Die vier Schweizer Sennenhunderassen im Überblick (dalam bahasa Jerman). Münchenbuchsee, Switzerland: BauernZeitung. Diarkibkan pada 6 Ogos 2022.
  6. ^ Appenzeller Sennenhunde – Rasseportrait (dalam bahasa Jerman). Schweizer Sennenhund-Verein für Deutschland. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  7. ^ a b Rogers Clark, Anne; Brace, Andrew H., penyunting (10 November 1995). The International Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Antarabangsa tentang Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Renée Sporre-Willes. (ed. ke-1 Amerika). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 88. ISBN 978-0-87605-624-0. OCLC 32697706.
  8. ^ a b "FCI breeds nomenclature: APPENZELLER SENNENHUND (46)" [Tatanama baka FCI: ANJING GUNUNG APPENZELL (46)] (dalam bahasa Inggeris). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  9. ^ Horisberger, U.; Stärk, Katharina D. C.; Rüfenacht, J.; Pillonel, C.; Steiger, Andreas (1 Mei 2004). "Demographie der Hundepopulation in der Schweiz" [Demografi populasi anjing di Switzerland]. Schweizer Archiv für Tierheilkunde (dalam bahasa Jerman). Gesellschaft Schweizer Tierärztinnen und Tierärzte. 146 (5): 223–232. doi:10.1024/0036-7281.146.5.223. ISSN 1664-2848. PMID 15185459. S2CID 73205118.
  10. ^ Kooperation mit ProSpecieRara (dalam bahasa Jerman). Schweizerischer Club für Appenzeller Sennenhunde = Club Suisse des Bouviers Appenzellois. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  11. ^ a b c d e "FCI - Standard Nr. 46 APPENZELLER SENNENHUND" [Piawaian FCI No. 46 Anjing Gunung Appenzell] (pdf) (dalam bahasa Jerman). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 5 Mei 2003. Dicapai pada 8 Januari 2024.
  12. ^ a b c d e "FCI-Standard N° 46 APPENZELLER SENNENHUND (Appenzell Cattle Dog)" [Piawaian FCI No. 46 Anjing Gunung Appenzell (Anjing Lembu Appenzell)] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Chris Seidler. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 5 Mei 2003. Dicapai pada 8 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  13. ^ [Bruce Fogle] (2013). The Dog Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). London, United Kingdom; New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley. ISBN 9781465408440.
  14. ^ Tamsin Pickeral (2014). Dogs Unleashed (dalam bahasa Inggeris). San Diego, Amerika Syarikat: Thunder Bay Press. ISBN 9781626860681.